Thursday, 19 May 2011

TUTUR KATAMU IBARAT MUTIARA...

Sesungguhnya tutur kata baik di umpamakan mutiara yang di sukai oleh orang ramai.. Kata-kata yang baik meletakkan penutur sebagai orang di senang, di sanjung, di contohi dan di terima kata-kata itu untuk kebaikan.. Masyarakat Melayu mudah tersentuh perasaan apabila isu bahasa kasar dan mencarut dibangkitkan.

Kata kasar dan mencarut biasa di gunakan oleh mereka yang kecewa dalam perjuangan atau gagal mendapat apa yang di harapkan dan ketika pergaduhan. Dalam keadaan itu syaitan mudah menguasai diri dan bersama-sama berjuang agar perbuatan itu di teruskan. Syaitan menutup kebenaran dengan menghilangkan rasa malu pengucapnya. Bahkan, syaitan akan membisikkan keyakinan agar terus mempertahankan apa yang di ucapkan. Syaitan akan mencari lebih ramai mereka yang sanggup menjadi rakannya untuk mengia dan mempertahankan keharusan menggunakan perkataan buruk. Mempertahankan perbuatan salah samalah berteduh di bawah pohon mati, air hujan tetap membasahkan diri dan lebih bahaya lagi dahan reput akan menimpa badannya. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang berkata-kata dengan kata-kata yang mentertawakan kawan yang duduk bersamanya, maka dia akan jatuh dengan kata-kata itu lebih jauh daripada bintang di angkasa.” – (Hadis riwayat Ibnu Abid-Dunya).

Dalam masyarakat Melayu yang tinggi pegangan agama, mempunyai cara yang halus untuk memperkatakan perkara buruk. Nenek moyang kita mengajar menggunakan bahasa kias dan sindiran untuk menegur keburukan orang lain.. Rasulullah saw menyatakan antara tanda keimanan kepada Allah ialah menjaga tutur kata. Sabda Rasulullah saw bermaksud:

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau dia diam.” – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Masyarakat Melayu, pantang sekali di ucapkan perkataan yang tidak baik. Mereka menyebut perkataan kasar dan mencarut pasti di cili mulutnya. Sebab itu apabila ingin bercakap elok berhati-hati agar tidak terlajak kata sehingga sukar untuk di tarik balik. Terlajak perahu boleh di undur, terlajak kata badan binasa. Untuk mengelak diri terperangkap dengan fitnah mulut, dalam banyak keadaan adalah lebih baik berdiam diri. Sabda Rasulullah saw bermaksud:

“Sesiapa suka selamat, maka hendaklah dia membiasakan diam.” – (Hadis riwayat al-Baihaqi).

Bahkan jangan sekali-kali bersama-sama orang yang sering mengucapkan perkataan buruk kerana ditakuti ia akan berjangkit. Ingatan itu dinyatakan dalam firman Allah bermaksud:

“Dan kami dulu (di dunia) selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang yang memperkatakannya.” – (Surah al-Muddasir, ayat 45)

Malah, dijelaskan larangan daripada berada bersama orang yang sering memperkatakan perkara yang tidak benar kerana ditakuti turut membabitkan diri dengan keburukan.

Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya Allah pun menurunkan kepada kamu (perintah-Nya) dalam kitab (al-Quran) iaitu, apabila kamu mendengar ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka memperkatakan perkara lain, kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir dalam neraka jahanam.” – (Surah an-Nisa, ayat 140).

Hakikatnya, kita selama-lamanya perlu mementingkan penggunaan bahasa sopan. Bahasa sopan memimpin penuturnya mengenali diri sendiri dan orang mendengarnya. Siapa yang mengenali dirinya, tentu tidak akan mencemarkan nama baiknya dengan kata-kata yang buruk. Sesiapa mengucapkan kata-kata buruk bermakna mencampakkan dirinya ke dalam keburukan seperti perkataan yang di ucapkan itu. Justeru, siapa ingin di pandang tinggi dan mulia tidak wajar menggunakan bahasa mencarut dan kasar.



Kita tidak mahu nilai bahasa kita rosak. Didik dan seringlah ingatkan diri kita ketika kita ingin memulakan bicara...

Wallahu'alam... Salam Sayang

:- Kiriman Ibu Nora